Piala Malaysia: Selangor 2 PDRM 0

on .

SELANGOR berjaya menundukkan PDRM 2-0 pada aksi kedua Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Ia sekali gus mengubat kekecewaan skuad Red Giants itu yang dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada T-Team pada aksi sulung di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Kedua-dua gol Selangor itu dijaringkan oleh Fadzli Saari pada minit ke-46 dan ke-59 setelah bekas pemain kebangsaan itu kembali diletakkan sebagai penyerang utama.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, K Devan mencuba gandingan Fadzli dan Rudie Ramli sebagai penyerang manakala Amri Yahyah kembali menjana jentera tengah bersama Hardi Jaafar.

Asraruddin Putra Omar yang beraksi di posisi sayap kiri sebelum ini diletakkan di posisi bek tengah menggantikan Yosri Derma Raju untuk bergandingan dengan Nasriq Baharom.

Manakala kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim hanya diletakkan di bangku simpanan.

Pada awal separuh masa kedua, percubaan Rudie pada minit ke-5 dan rembatan Amirulhadi Zainal minit ke-15 sekadar sipi daripada gawang PDRM.

Ia disusuli percubaan cantik Fitri Shazwan Raduwan yang diletakkan di posisi sayap kiri pada minit ke-24 tetapi sepakannya berjaya dihadang keluar penjaga gol PDRM, Hamdan Sairi.

Dua percubaan berikutnya pada minit ke-30 dan ke-40 menyaksikan rembatan Fadzli dan Rudie masing-masing tepat ke dakapan Hamdan.

Pada minit ke-43, PDRM hadir mengancam tetapi sepakan percuma Fazuan Abdullah mudah diselamatkan penjaga gol Selangor, G Jeevananthan.

Selangor tampil garang sebaik babak kedua bermula apabila hanya memerlukan seminit untuk mendahului 1-0 selepas Fadzli pantas menolak masuk lorongan Amirulhadi dari sebelah kanan.

Pada minit ke-58, Devan melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Safiq menggantikan Fitri. Rudie ditolak ke sayap kiri manakala Safiq bergandingan dengan Fadzli.

Hasilnya hanya seminit kemudian, hantaran leret Safiq dari bahagian tengah berjaya disudahkan dengan baik oleh Fadzli untuk menewaskan Hamdan buat kali kedua.

Amri bagaimanapun terlepas peluang keemasan setelah memperdayakan penjaga gol PDRM itu tetapi beliau lambat menolak masuk bola ke gawang terbuka sekali gus sempat dihadang pertahanan lawan pada minit ke-67.

Baki 10 minit terakhir pula menyaksikan Selangor terlepas beberapa lagi peluang keemasan untuk melebarkan jaringan.

Pada minit ke-80, rembatan penyerang gantian, S Sritharan dari dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Hamdan, begitu juga percubaan Amirulhadi tiga minit kemudian yang turut diselamatkan penjaga gol PDRM itu.

Seminit sebelum permainan tamat, percubaan Safiq pula sedikit tersasar.

Untuk aksi ketiga Kumpulan D, Selangor akan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa ini.

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Amirulhadi Zainal, Hardi Jaafar, Amri Yahyah (c), Fitri Shazwan Raduwan (Safiq Rahim), Rudie Ramli (Haziq Zikri Elias), Fadzli Saari (S Sritharan).

PDRM: Hamdan Sairi, Zamri Omar, Alif Haikal Ganeson, Azrul Azman, Isham Johan, Hafizi Salim, Khairul Izuan Abdullah (Kam Kom Pin), Fauzi Majid, Afif Amiruddin (c), N Dhurai, Fazuan Abdullah (Eddy Gapil).

Pengadil: Yusof Mat Karim

logo mbi  logo kappa  logo arena