Piala Malaysia: Selangor 3 Perak 1

on .

SELANGOR kembali tampil dengan aksi bertenaga apabila berjaya menewaskan Perak 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selain menghidupkan semula Misi 33, kemenangan Selangor itu juga sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Perak sepanjang enam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

Safiq Rahim berjaya menyudahkan dua sepakan percuma ditambah penyudah kemas Amirulhadi Zainal sebelum Failee Ghazli memberikan satu gol di tempat lawan buat Perak.

Beraksi di hadapan 15,000 penyokong sendiri, Selangor melakukan percubaan pertama pada minit ke-10, namun sepakan Amri Yahyah dari sebelah kiri disambar kemas penjaga gol Perak, Kamarul Effandi Abd Rahim.

Namun dua minit kemudian, Selangor akhirnya berjaya mendahului 1-0 menerusi sepakan percuma cantik Safiq yang gagal diselamatkan Kamarul.

Selepas itu, Selangor memiliki dua peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi percubaan Azidan Sarudin sedikit sipi pada minit ke-17 dan tujuh minit kemudian, tandukan Safiq hasil hantaran Amri turut sipi.

Melihatkan jentera tengah Selangor lebih menguasai permainan, Perak memasukkan Shahrulnizam Mustapa menggantikan Wan Hossen Ghani pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Safiq sekali lagi cemerlang menerusi sepakan percumanya yang berjaya menembusi gawang Perak buat kali kedua pada minit ke-57.

Kedudukan Selangor makin selesa apabila Amirulhadi menyudahkan tolakan Safiq untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-62, mendiamkan seketika 5,000 penyokong Perak yang hadir.

Sikap tidak berputus asa Perak akhirnya berhasil apabila Failee berjaya merembat masuk gol tunggal pelawat pada minit ke-76 setelah berlaku salah faham di antara penjaga gol Selangor, G Jeevananthan dan barisan pertahanannya.

Pada minit ke-79, Selangor pula terpaksa beraksi 10 pemain setelah Bunyamin Umar dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah.

Namun kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk Selangor membawa bekalan selesa ke perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat ini.

SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom, P Gunalan, Amirulhadi Zainal (Hardi Jaafar), Bunyamin Umar, Azidan Sarudin, Fitri Shazwan Raduwan (K Depan Sakwati), Safiq Rahim, Amri Yahyah (c) (Fadzli Saari).

PERAK: Kamarul Effandi Abd Rahim, Mohd Noor Hazrul Mustafa, Khairi Zainuddin (c), Hisyamuddin Shaari, Chan Wing Hoong, Fazrul Hazli, Nazri Kamal, Wan Hossen Ghani (Shahrulnizam Mustapa), Nurridzuan Abu Hassan (Isma Alif Salim), Shafiq Jamal (Akmal Rizal Rakhli), Failee Ghazli.

Pengadil: Samsuddin Ibrahim.

Galeri

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Perak>> KLIK DI SINI

Video

logo mbi  logo kappa  logo arena