Piala Malaysia: Terengganu 2 Selangor 1
MISI 33 Selangor gagal selepas mereka tewas 1-2 kepada Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Dengan keputusan itu, Selangor terpaksa merelakan Terengganu melangkah ke final menerusi agregat 4-1 selepas skuad Penyu itu menang 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.
Pada aksi malam tadi, Terengganu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi rembatan Abdul Manaf Mamat yang menyudahkan satu serangan balas pantas.
Terdesak untuk memburu tiga gol, jurulatih Selangor, P Maniam menambah kekuatan di barisan depan dengan memasukkan Azidan Sarudin dan Amri Yahyah pada babak kedua.
Namun Terengganu pula yang berjaya menambah gol kedua pada minit ke-72 hasil sepakan kaki kiri Ashari Samsudin dari luar kotak penalti.
Selangor berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 menerusi tandukan Safiq Rahim hasil hantaran lintang Amirulhadi Zainal, tetapi ia sudah terlewat.
Terengganu akan bertemu Negeri Sembilan yang menyingkirkan T-Team menerusi agregat 6-3 di pentas final pada Sabtu ini.
TERENGGANU: Sharbinee Allawee Ramli, Mazlizam Mohamad (Helmi Remeli), Marzuki Yusof (c), Faizal Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Reeshafiq Alwi, Ashari Samsudin, Abdul Hadi Yahaya (Wan Aliff Jasmi), Abdul Manaf Mamat (Ismail Faruqi Ashari).
SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan (Amri Yahyah), Nasriq Baharom (Azidan Sarudin), Asraruddin Putra Omar, P Gunalan (c), Amirulhadi Zainal, Bunyamin Umar, Safiq Rahim, Fitri Shazwan Raduwan, Rudie Ramli, Fadzli Saari.
Pengadil: Yusof Mat Karim


