Piala Presiden: Selangor kalah lagi
SELANGOR gagal memungut sebarang mata pada dua aksi berturut-turut di tempat lawan dalam saingan Piala Presiden 2009.
Pada perlawanan menentang T-Team di Kuala Terengganu Khamis lalu, Selangor tewas 0-2 manakala menentang Sarawak di Kuching Ahad lalu, Selangor kalah tipis 0-1.
Dengan dua kekalahan itu, Selangor kini terperosok di tangga ke-9 dalam Kumpulan A dengan hanya 3 mata hasil satu kemenangan yang dicatat ketika menewaskan KL Plus 1-0 pada aksi sulung di Padang SUK, Shah Alam 8 Januari lalu.
Selepas berakhir tiga perlawanan, Kumpulan A kini diterajui T-Team yang mengumpul 9 mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.
Skuad bimbingan P. Somasundram yang dibantu Anuar Abu Bakar itu akan menanti kunjungan Negeri Sembilan pada perlawanan keempat mereka di Padang SUK, Shah Alam pada pukul 4.45 petang Khamis ini.
Negeri Sembilan sekadar seri tanpa jaringan ketika menerima kunjungan KL Plus Ahad lalu.


