Piala Sultan Selangor: Selangor tewas tipis
SELANGOR gagal merampas trofi Piala Sultan Selangor 2001 apabila tewas 0-1 kepada Singapura pada aksi edisi ke-10 itu di Stadium Shah Alam, malam tadi yang cukup meriah dengan kehadiran lebih 65,000 penonton.
Biarpun berjaya mengimbangi kekuatan Singapura yang tampil dengan skuad kebangsaan mereka, Selangor kendalian P Maniam akhirnya tersungkur menerusi gol sendiri Asraruddin Putra Omar pada minit ke-65.
Selepas beraksi cemerlang sepanjang permainan, penjaga gol Selangor, G Jeevananthan akhirnya tewas selepas beliau gagal menggapai sepakan sudut kapten Singapura, Shahril Ishak yang akhirnya telah tertanduk ke gawang sendiri oleh Asraruddin.
Selangor turun dengan dua pemain import jemputan, Jason McAteer (bekas pemain Liverpool) yang bergandingan dengan Asraruddin di posisi bek tengah manakala bekas pemain Manchester United, Jesper Blomqvist beraksi di posisi sayap.
Jentera serangan pula menyaksikan kapten Selangor, Amri Yahyah bergandingan dengan penyerang Pelita Jaya, Safee Sali yang dijemput kembali menyarung jersi bekas pasukannya itu.
Selaku juara, Singapura membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala Selangor mendapat RM10,000.
Dengan kekalahan terbaru itu, Selangor kini sudah tiga tahun kempunan untuk menjulang trofi Piala Sultan Selangor setelah turut tewas pada dua edisi sebelum ini - 0-3 pada 2009 dan 0-6 pada 2010.
Selepas 10 edisi, Singapura kini menang sebanyak enam kali manakala Selangor menang lima kali, termasuk kedua-dua bergelar juara bersama pada edisi 2004.
Terdahulu, pada aksi pembuka tirai, Veteran Selangor berjaya menewaskan Veteran Singapura 3-1 menerusi jaringan Maniam (minit ke-7) serta dua gol Dollah Salleh (12 & 39) manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Abdullah Noor (16).
Ia merupakan kemenangan keenam buat Veteran Selangor termasuk bergelar pemenang bersama pada edisi sulung 2001, selain mengekalkan kemenangan 1-0 pada edisi kesembilan, tahun lalu.
Antara yang turut beraksi - Datuk Soh Chin Aun, K Gunalan, Zainal Abidin Hassan, Anuar Abu Bakar, Reduan Abdullah, Shahrin Majid, K Sanbagamaran, Azlan Johar, Malek Awab, Suria Murthi, Yahya Madon dan V Sundram Moorthy.
SELANGOR: G Jeevananthan, Razman Roslan, Jason McAteer (Nazri Ahmad 72), Asraruddin Putra Omar, P Gunalan, Amirulhadi Zainal (Azidan Sarudin 81), Bunyamin Umar, Safiq Rahim (Hardi Jaafar 73), Jesper Blomqvist, Amri Yahyah (c) (Rudie Ramli 81), Safee Sali (Fitri Shazwan Raduwan 70).
SINGAPURA: Lionel Lewis (Izwan Mahbud 45), Jumaat Jantan, Daniel Bennett, Safuwan Baharudin, Shaiful Esah, Hafiz Rahim (Ruzani Zainal 56) (Ismail Yunos 72), Noh Rahman (Isa Halim 56), Shahril Ishak (c) (Shahdan Sulaiman 61), Fazrul Nawaz, Shi Jiayi, Aleksandar Duric.


