Selangor 0 Kelantan 0

on .

SELANGOR sekadar seri tanpa jaringan dengan Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Namun kegagalan Kelantan memperoleh gol di tempat lawan meletakkan Selangor hanya perlu seri 1-1 atau menang tipis 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu Jumaat ini untuk layak ke separuh akhir.

Aksi di Shah Alam malam tadi cukup meriah dengan kehadiran kira-kira 50,000 penonton dari kedua-dua pasukan.

Selangor dan Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak dari minit ke-44 apabila P. Gunalan dan Norshahrul Idlan Talaha dilayangkan kad merah kerana berlaku pergeseran di antara mereka berdua.

Tidak banyak percubaan tepat ke arah gol berjaya dicipta Selangor mahupun Kelantan pada babak awal permainan.

Hanya pada minit ke-18, Kelantan mencuba menerusi rembatan dari luar kotak penalti Nor Farhan Muhammad yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Seminit kemudian, kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak terhantar bola ke arah kapten Selangor, Amri Yahyah hampir dihukum tetapi lorongan Amri kepada Safee Sali hanya dirembat sipi ke kanan pintu gol oleh penyerang Selangor itu.

Selangor sekali lagi memperoleh peluang keemasan menerusi serangan balas pada minit ke-40 tetapi rembatan terakhir oleh Amirulhadi Zainal sempat dikeluarkan pertahanan Kelantan di hadapan pintu gol mereka.

Namun insiden Norshahrul dan Gunalan dilayangkan kad merah empat minit kemudian mengakibatkan rentak permainan kedua-dua pasukan sedikit terganggu pada babak kedua.

Akmal Rizal Rakhli hampir menembusi gawang Selangor pada minit ke-52 tetapi rembatannya dari luar kotak penalti ditepis dengan baik oleh Hamsani.

Selangor turut berpeluang pada minit ke-59 tetapi rembatan kaki kiri pemain gantian, Asraruddin Putra Omar selepas sepakan penjuru Safiq Rahim ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik Selangor menjelma pada minit ke-72 tetapi Amirulhadi yang hanya berdepan Khairul gagal melepasi penjaga gol kebangsaan itu yang sempat menyelamatkan bola dalam situasi cemas.

Sehingga tamat tiga minit masa kecederaan yang diberikan pengadil, kedudukan masih kekal tanpa jaringan.

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 14.Hardi Jaafar (19.D.Surendran), 7.Farderin Kadir (4.Asraruddin Putra Omar), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (9.Rudie Ramli).

Simpanan tidak digunakan: 22.Iqbal Suhaimi, 11.Zaiza Zainal Abidin, 23.R.Surendren, 25.Fazilidin Khalid.

KELANTAN: 19.Khairul Fahmi Che Mat, 6.Farisham Ismail, 2.Azizi Mat Rose, 17.Rizal Fahmi Rosid, 24.Zairul Fitree Ishak, 10.Nor Farhan Muhammad (13.S.Chanturu) (15.Daudsu Jamaludin), 8.Shakir Shaari, 16.Badhri Radzi, 23.Indra Putra Mahayuddin (c), 14.Akmal Rizal Rakhli (20.Hairuddin Omar), 9.Norshahrul Idlan Talaha.

Simpanan tidak digunakan: 1.Syed Adney Syed Hussein, 3.S.Subramaniam, 5.Khairul Eroza Razali, 18.Wan Zaman Wan Mustapha.

PENGADIL: Rosdi Shaharul

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Kelantan>> KLIK DI SINI

logo mbi  logo kappa  logo arena