Selangor 0 Sriwijaya 4
SELANGOR gagal mempertahankan rekod bersih di gelanggang sendiri apabila tewas 0-4 kepada Sriwijaya FC pada aksi terakhir Kumpulan F dalam saingan Piala AFC 2010 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan kekalahan tersebut, Selangor sekadar menamatkan kempen Piala AFC musim ini di tangga ketiga dengan empat mata hasil sekali menang, sekali seri dan empat kali tewas.
Turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Amri Yahyah, Khairul Anuar Baharom, P. Gunalan dan Safee Sali yang direhatkan, tuan rumah dibolosi dua gol pada setiap babak.
Gol pertama Sriwijaya hadir pada minit ke-27 menerusi jaringan bekas penyerang import Sabah, Keith Gumbs yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Selangor sebelum mudah menewaskan Iqbal Suhaimi pada situasi satu lawan satu.
Pada minit ke-42, giliran Anorue Obiora Richard pula meledak gol kedua Sriwijaya menerusi satu rembatan jarak jauh untuk pelawat selesa mendahului sebelum memasuki bilik persalinan.
Ketinggalan dua gol, Selangor memasukkan tiga tonggak utama mereka iaitu Hardi Jaafar, Amirulhadi Zainal dan R.Surendren bagi merapatkan kedudukan.
Namun Sriwijaya terus bernafsu untuk menambah dua lagi gol pada baki 10 minit terakhir permainan.
Gol ketiga pelawat dijaringkan Ponaryo Astaman pada minit ke-82 sebelum Gumbs meledak gol keempat Sriwjaya yang juga gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.
Pada satu lagi perlawanan, Victory SC tewas 0-5 kepada Binh Duong di gelanggang sendiri.
SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi, 3.Razman Roslan (c), 6.Nasriq Baharom, 11.Zaiza Zainal Abidin, 4.Asraruddin Putra Omar, 7.Farderin Kadir (20.Amirulhadi Zainal), 8.Safiq Rahim (14.Hardi Jaafar), 12.Bunyamin Umar, 24.Fitri Shazwan Raduwan, 16.Azrine Efendy Saduddin, 18.Liew Kit Kong (23.R.Surendren).
Simpanan tidak digunakan: 21.Hamsani Ahmad, 9.Rudie Ramli, 15.P.Gunalan, 25.Fazilidin Khalid.
SRIWIJAYA FC: 12.Feri Rotin Sulu, 4.Charis Yulianto, 19.Ambrizal, 22.Slamet Riyadi, 24.Marthen Christian Worabai, 6.Tony Sucipto (28.Sulaiman Alamsyah Nasution), 7.Mohammad Nasuha (14.Arif Suyono), 10.Krangar Zah, 11.Ponaryo Astaman, 9.Anorue Obiora Richard (8.Rachmat Maruf Rivai), 17.Keith Gumbs (c).
Simpanan tidak digunakan: 26.Andritany Ardhiyasa, 5.Bobby Satria, 18.Oktavianus, 25.Isnan Ali
PENGADIL: Fan Qi (China)

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Sriwijaya>> KLIK DI SINI


