Selangor 1 KL Plus 0
Gol tunggal perlawanan menerusi pemain gantian Amirulhadi Zainal membantu Selangor menewaskan KL Plus 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Dengan saingan liga berbaki hanya 4 perlawanan Selangor yang telah mengumpul 51 mata dengan kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat Perlis.
Selangor yang memburu kejuaraan Liga Super buat kali pertama bermula agak longgar dengan membolehkan KL Plus menguasai awal permainan.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun mempunyai peluang terbaik untuk mendahului namun dinafikan penyudah lemah dari masing-masing Safee Sali, R. Surendran dan C. Premnath di separuh masa pertama.
Corak bertahan dipamerkan KL Plus yang dikemudi dua bekas pemain kebangsaan Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadli Idrus jelas merencatkan rancangan Selangor untuk mencari gol.
Malah KL Plus hampir mengejutkan skuad Gergasi Merah hasil sepakan jarak jauh bekas pemain Selangor Safiq Rahim terkena palang tatkala Hamsani Ahmad hanya mampu melihat.
Mujur Amirulhadi Zainal yang masuk menggantikan Rudie Ramli bertindak bijak menyudahkan hantaran silang R Surendren untuk gol kemenangan Selangor pada minit ke 76.
SELANGOR: Hamsani Ahmad, Razman Roslan (D.Surendran), Khairul Anuar Baharom, Nasriq Baharom, P.Gunalan, R.Surendren (Asraruddin Putra Omar), Hardi Jaafar, Amri Yahyah, C.Premnath, Rudie Ramli (Amirulhadi Zainal), Safee Sali.



