Selangor 1 Negeri Sembilan 2
SELANGOR tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2010 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Setelah mendahului hasil jaringan Safee Sali pada penghujung separuh masa pertama, gawang Selangor bolos dua kali dalam tempoh hanya dua minit pada pertengahan babak kedua.
Perlawanan dimulakan dalam suasana hujan lebat dengan Selangor turun tanpa penjaga gol utama, Hamsani Ahmad yang mengalami keretakan pada kaki kirinya.
Seakan mahu menguji kemampuan penjaga gol gantian, Fairul Azwan Shahrullail, Negeri Sembilan lebih banyak menguasai permainan pada 10 minit pertama.
Namun Selangor yang dibantu sokongan kira-kira 25,000 penyokong setia mereka mula menemui rentak selepas tempoh tersebut.
Pada minit ke-23, Selangor sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Amri Yahyah jelas dijatuhkan pertahanan Negeri Sembilan, Ching Hong Aik ketika satu serangan balas.
Pengadil, Mohd. Nafeez Abdul Wahab dan penjaga garisan bagaimanapun bertindak untuk meneruskan saja permainan.
Peluang terbaik Selangor selepas itu hadir pada minit ke-40 tetapi rembatan Safiq Rahim dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun.
Seminit kemudian, sepakan sudut Hardi Jaafar berjaya ditanduk cantik Bunyamin Umar tetapi ia berjaya dikeluarkan Hong Aik di atas garisan gol Negeri Sembilan.
Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-44 setelah Safee Sali berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Hardi Jaafar yang gagal ditangkap dengan baik oleh Farizal.
Kedudukan separuh masa pertama, Selangor mendahului Negeri Sembilan 1-0.
Pada separuh masa kedua, Selangor terus mengasak untuk mencari gol tambahan.
Pada minit ke-50, Safee berlaga dengan Farizal ketika cuba menanduk hantaran silang Razman Roslan dari sebelah kanan.
Akibatnya, penjaga gol utama Negeri Sembilan itu mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Sani Anuar Kamsani lima minit kemudian.
Bagaimanapun, detik malang Selangor hadir pada minit ke-69 setelah Fairul Azwan tersilap langkah ketika menanti sepakan Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan.
Biarpun sempat menepis bola tersebut, ia telah pun melepasi garisan gol Selangor untuk memberikan gol penyamaan Negeri Sembilan oleh Zaquan.
Hanya dua minit kemudian, Negeri Sembilan pula berjaya mendahului Selangor setelah sepakan S. Kunanlan dari sebelah kanan tertolak masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Selangor, Nasriq Baharom.
Ketinggalan satu gol, jurulatih Selangor, K. Devan terus membawa masuk Asraruddin Putra Omar dan D. Surendran pada minit ke-74 disusuli R. Surendren enam minit kemudian.
Mereka bertiga menggantikan Amirulhadi Zainal, Safiq dan Safee.
Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-78 menerusi sepakan percuma Surendran dari sebelah kiri tetapi ia sekadar menggegar tiang gol Negeri Sembilan dan melantun keluar.
Tiga minit kemudian, sepakan percuma Surendran dari bahagian tengah pula berjaya ditumbuk keluar Sani Anuar.
Sehingga wisel penamat, Selangor tetap gagal mendapatkan gol kedua.
Dengan keputusan itu, Selangor perlu mencatat kemenangan melebihi satu gol pada aksi kedua di Paroi Sabtu ini jika berhasrat untuk layak ke final dan mempertahankan kejuaraan musim lalu.
SELANGOR: 1.Fairul Azwan Shahrullail, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal (4.Asraruddin Putra Omar), 12.Bunyamin Umar, 14.Hardi Jaafar, 8.Safiq Rahim (19.D.Surendran), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (23.R.Surendren).
Simpanan tidak digunakan: 22.Iqbal Suhaimi, 9.Rudie Ramli, 16.Azrine Efendy Saduddin, 24.Fitri Shazwan Raduwan.
NEGERI SEMBILAN: 22.Farizal Harun (21.Sani Anuar Kamsani), 2.Rahman Zabul, 7.Aidil Zafuan Radzak, 12.Shukor Adan, 15.Ching Hong Aik, 6.S.Kunanlan, 17.Idris Karim, 23.Rezal Zambery Yahya (c), 9.Shahurain Abu Samah (19.Firdaus Azizul), 10.Shafik Abd. Rahman (14.K.Thanaraj), 8.Zaquan Adha Radzak.
Simpanan tidak digunakan: 3.Tengku Qaiyyum Ubaidillah Tengku Ahmad, 5.Alif Samsudin, 20.Abdul Halim Zainal, 28.Asyraf Al Japri.
PENGADIL: Mohd. Nafeez Abdul Wahab

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Negeri Sembilan>> KLIK DI SINI


