Selangor 1 Perlis 0
JARINGAN tunggal Nasriq Baharom pada minit ke-74 memastikan Selangor meraih kemenangan ketiga pada saingan Piala Malaysia dengan menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Selepas menewaskan T-Team 3-1 dan Felda United 4-1, kemenangan ke atas Perlis itu membolehkan Selangor mendahului selesa saingan Kumpulan D dengan sembilan mata maksimum.
Namun Perlis memberi ancaman cukup berbahaya kepada Selangor terutama pada separuh masa pertama.
Setelah rembatan jarak jauh Ahmad Fakri Saarani sedikit tersasar pada minit keenam, Perlis memiliki peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan percuma di dalam kotak penalti pada minit ke-10.
Ia diberi selepas penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad menangkap bola hantaran ke belakang Khairul Anuar Baharom.
Mujur rembatan Hazrul Mustafa berjaya dihadang keluar benteng yang dibuat para pemain Selangor.
Selangor yang begitu sukar mencipta peluang akhirnya memperoleh kesempatan terbaik untuk mendapatkan gol pertama apabila diberikan sepakan percuma dari sebelah kanan.
Sepakan yang diambil Hardi Jaafar pada minit ke-31 itu berjaya ditanduk cantik oleh Nasriq tetapi ia sedikit sipi di sebelah kiri gawang gol Perlis.
Pasukan pelawat terus tidak berputus asa untuk mencari gol dan pada minit ke-38 rembatan cantik Faiz Subri hampir menggegar jaring sebelum sempat ditepis keluar penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Dengan kedudukan terikat 0-0, Selangor memulakan babak kedua dengan hajat mendapatkan gol pembukaan.
Namun mereka terus buntu sehingga memaksa jurulatih Selangor, K. Devan memasukkan Asraruddin Putra Omar menggantikan D. Surendran untuk memperkasakan posisi sayap kiri pada minit ke-57.
Gol yang dicari Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-74 setelah Nasriq berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Safiq Rahim dari sebelah kiri.
Tiga minit selepas itu, Devan melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Rudie Ramli dan R. Surendren bagi menggantikan Safee Sali dan Safiq.
Namun gol tambahan yang dicari Selangor gagal diperolehi tetapi tiga mata penuh yang diraih itu ternyata cukup bermakna.
Selangor di tangga teratas Kumpulan D selepas tiga perlawanan menerusi sembilan mata diikuti T-Team dengan enam mata, Perlis tiga mata dan Felda United masih belum memungut sebarang mata.Saingan Piala Malaysia berehat dua minggu dan akan kembali bersambung pada 3 Oktober depan apabila Selangor bertandang ke Kuala Terengganu untuk bertemu T-Team.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim (23.R.Surendren), 14.Hardi Jaafar, 19.D.Surendran (4.Asraruddin Putra Omar), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali (9.Rudie Ramli).
Simpanan tidak digunakan: 22.Iqbal Suhaimi, 7.Farderin Kadir, 11.Zaiza Zainal Abidin, 25.Fazilidin Khalid.
PERLIS: 22.Suhardy Alby, 19.Hazrul Mustafa (17.Azmizi Azmi), 3.Fauzie Nan, 6.Shariman Che Omar, 11.Badrul Azam Zamri, 25.Azrul Ahmad, 8.Amar Rohidan, 9.Wan Khairul Faiz, 15.Syazwan Zainol, 10.Ahmad Fakri Saarani (4.Zuraindey Jumai), 13.Faiz Subri (2.Rosaiful Nizam Omar).
Simpanan tidak digunakan: 21.Amirul Rosli, 18.Mazlizam Mohamad, 26.Ahmad Aminuddin, 5.Iffi Afinaz Ismail.
PENGADIL: Samsudin Ibrahim


