Selangor 2 KL Plus 1

on .

SELANGOR berjaya meneruskan rentak kemenangan biarpun turun tanpa tiga tonggak utama serta jurulatihnya apabila menewaskan KL Plus 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan tipis itu mengekalkan Selangor di tangga teratas Liga Super dengan enam mata mengatasi Kelantan yang turut menang 2-1 ke atas Perlis di Kota Bharu.

Selangor turun tanpa Safee Sali, Hardi Jaafar dan Razman Roslan serta ketua jurulatihnya, K. Devan yang digantung antara empat hingga enam perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis lalu.

Penolong jurulatih Selangor, P. Maniam mengambil alih tugas memberi arahan di tepi padang sambil sesekali berhubung menggunakan walkie talkie dengan Devan yang berada di tempat duduk VIP.

Pada separuh masa pertama, tidak banyak percubaan berbahaya yang berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Hanya pada masa kecederaan, lambungan kapten Selangor, Amri Yahyah hampir memerangkap Razi Effendy Suhit sebelum berjaya diselamatkan penjaga gol KL Plus itu.

Selangor akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-54 apabila Amirulhadi Zainal melepaskan rembatan kencang menerjah jaring selepas menerima lorongan Safiq Rahim.

Gol kedua Selangor menyusul pada minit ke-80 menerusi satu tolakan kemas oleh Liew Kit Kong dari dalam kotak penalti yang berjaya mengelirukan Razi.

Namun Selangor dikejutkan dengan gol pertama KL Plus selepas pemain gantian, Nazrin Nawi melakukan rembatan jauh dari luar kotak penalti yang memerangkap Hamsani Ahmad pada minit ke-84.

Seminit kemudian, penyerang gantian Selangor, Rudie Ramli pula nyaris menambah gol ketiga tetapi sepakan kaki kirinya sekadar singgah ke tiang kanan gawang KL Plus ketika Razi sudah tertewas.

Kedudukan 2-1 akhirnya kekal hingga tamat permainan untuk memberikan tiga mata penuh yang cukup berharga buat Selangor.

Perlawanan seterusnya selepas ini, Selangor akan bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa ini disusuli pertemuan dengan Perlis di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 19.D.Surendran (4.Asraruddin Putra Omar), 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 12.Bunyamin Umar, 7.Farderin Kadir (24.Fitri Shazwan Raduwan), 17.Amri Yahyah (c), 18.Liew Kit Kong (9.Rudie Ramli).

Simpanan tidak digunakan: 1.Fairul Azwan Shahrullail, 22.Iqbal Suhaimi, 23.R.Surendren, 25.Fazilidin Khalid.

KL PLUS: 22.Razi Effendi Suhit, 2.Zaidi Ahmad (17.Nazrin Nawi), 13.Es Lizuan Zahid, 25.Azi Shahril Azmi, 21.Irwan Fadzli Idrus, 14.Rusydee Samsuddin (23.Fazrul Hazli Kadri), 5.Norhafiz Zamani Misbah (c), 8.Reeshafiq Alwi, 19.Ab. Aziz Ismail, 11.Lot Abu Hassan (18.Badrul Hisani Abd. Rahman), 20.Fadzli Saari.

Simpanan tidak digunakan: 24.Hafiz Romly, 7.Azrul Azmi, 10.Nizaruddin Yusof, 16.Hairee Jamaluddin.

PENGADIL: Ahmad Boestamam Hamid

logo mbi  logo kappa  logo arena