Selangor 2 Perak 0
Selangor berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA setelah berjaya menundukkan Perak 2-0 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi, sekaligus layak dengan agregat 4-1.
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh C Premnath dan Rudie Ramli di separuh masa kedua, masing-masing pada minit ke-78 dan 90.
Berbekalkan kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama di Ipoh Selasa lalu, anak buah K Devan dipaksa bekerja keras oleh barisan muda Perak dan hanya dapat menamatkan sisa perjuangan pasukan pelawat pada 20 minit terakhir perlawanan.
Lawan menanti Selangor di separuh akhir nanti adalah Perlis yang berjaya menjinakkan Harimau Muda. Perlawanan separuh akhir pertama dijadualkan akan berlangsung di Kangar pada 7 April dan perlawanan kedua di Shah Alam pada 18 April.


