Selangor 3 Kedah 1
SELANGOR terus gah mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila berjaya menewaskan juara bertahan, Kedah 3-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Lebih manis, kemenangan itu turut membolehkan Selangor kembali menduduki tangga teratas liga setelah Perlis tewas 0-2 kepada Terengganu di Kangar.
Selangor kini mengumpul 40 mata diikuti Perlis 38 mata dan Negeri Sembilan 33 mata selepas ketiga-tiga pasukan mengharungi 17 perlawanan, berbaki lagi sembilan perlawanan.
Ahmad Fauzi Shaari meletakkan Kedah di hadapan pada masa kecederaan separuh masa pertama tetapi tiga jaringan menerusi Amri Yahyah (55), Rudie Ramli (62) dan Amirulhadi Zainal (87) memberikan Selangor tiga mata penuh yang cukup berharga.
Disaksikan di hadapan 30,000 penonton, Kedah lebih garang pada awal permainan apabila Shahrulnizam Mustafa merembat deras dari luar kotak penalti pada minit kedua tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Pada minit kelima, Kedah berjaya menggegar jaring Selangor tetapi menerusi tampanan menggunakan tangan oleh Khyril Muhymeen Zambri yang kemudiannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil akibat tindakannya itu.
Tersentak dengan serangan awal lawan, Selangor melakukan serangan balas menerusi bola lorongan Rudie yang pantas dibawa lari Safee Sali tetapi sepakan penyudahnya sekadar menggegar jaring gol Kedah di sebelah kanan.
Pada minit ke-28, Kedah terpaksa mengeluarkan ketua pasukannya, VIctor Andrag yang mengalami hamstring dan memasukkan Khairul Helmi Johari.
Lilitan kapten kemudiannya diberikan kepada Ahmad Fauzi.
Ketika masa kecederaan babak pertama diberikan selama dua minit, Ahmad Fauzi akhirnya berjaya menggembirakan para penyokong Kedah apabila mudah memperdayakan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Kedah masuk ke bilik persalinan dengan senyuman setelah berjaya mendahului tuan rumah 1-0.
Namun sebaik babak kedua bermula, Selangor mendominasi sepenuhnya perlawanan bagi memastikan mereka dapat mencari gol penyamaan.
Pada minit ke-53, sepakan percuma Hardi Jaafar dari sebelah kanan ditanduk cantik oleh Safee. Namun penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias sempat menepisnya.
Gawang Kedah akhirnya bocor pada minit ke-55 apabila rembatan kencang Amri dari jarak 30 meter terus menerjah ke penjuru kanan pintu gol Kedah tanpa sempat diselamatkan Helmi.
Kedudukan 1-1 tidak kekal lama kerana Selangor yang terus garang menyerang berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-62 setelah sepakan Safee dari sebelah kiri kotak penalti Kedah berjaya ditanduk cantik oleh Rudie.
Pada minit ke-78, Selangor seharusnya boleh menamatkan sisa perjuangan Kedah tetapi hasil satu serangan balas, hantaran R. Surendren dari sebelah kanan disepak tinggi Amri meskipun dia hanya berhadapan dengan Helmi.
Ketika permainan berbaki tiga minit, Selangor akhirnya berjaya juga menjaringkan gol ketiga apabila sepakan sudut Hardi yang cuba ditumbuk keluar oleh Helmi tepat ke kepala pemain gantian, Amirulhadi Zainal yang terus menanduk masuk ke dalam gawang Kedah.
Selangor akan bertemu Perak di Ipoh pada 16 Jun, Negeri Sembilan di Paroi pada 20 Jun dan Johor FC di Shah Alam pada 23 Jun untuk tiga perlawanan berikutnya yang cukup penting dalam memastikan Selangor kekal di landasan terbaik untuk menjuarai Liga Super buat kali pertama.
Namun, Perlis berpeluang merampas kembali takhta liga pada 30 Mei ini apabila mereka bertemu Kedah di Stadium Darul Aman yang merupakan perlawanan 23 Jun yang terpaksa diadakan awal berikutan Kedah akan beraksi pada suku akhir Piala AFC pada tarikh tersebut.
SELANGOR:
21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan (19-D.Surendran), 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 23-R.Surendren (20-Amirulhadi Zainal), 14-Hardi Jaafar, 17-Amri Yahyah (kapten), 28-C.Premnath, 9-Rudie Ramli (25-Fazilidin Khalid), 10-Safee Sali.
KEDAH:
1-Helmi Eliza Elias, 3-Ronny Harun, 2-Victor Andrag (kapten) (20-Khairul Helmi Johari), 16-Fazliata Taib, 6-Shafizan Hashim, 15-Fadly Baharom (9-Azrul Ahmad), 8-Shahrulnizam Mustafa, 11-Ahmad Fauzi Shaari, 23-Badrol Bakhtiar, 24-Faizal Abu Bakar (27-Hisyam Sofi), 18-Khyril Muhymeen Zambri.


