Selangor 3 KM Naza 2
SELANGOR bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum berjaya menewaskan Kuala Muda (KM Naza) 3-2 pada perlawanan ketiga Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia 2009 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Ketinggalan 0-2 seawal 34 minit permainan, Selangor berjaya membalas tiga gol menerusi Amri Yahyah pada penghujung separuh masa pertama diikuti jaringan Safee Sali dan Rudie Ramli pada lewat babak kedua.
KM Naza mendahului 1-0 pada minit ke-16 selepas rembatan kencang Farderin Kadir dari luar kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Akmal Rizal Rakhli menjadikan kedudukan selesa 2-0 buat KM Naza pada minit ke-34 apabila dia pantas menolak masuk bola hantaran Farderin dari sebelah kiri.
Selangor akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi Amri yang mudah menolak masuk selepas penjaga gol KM Naza, Azizon Kadir tersalah hantar bola ke arahnya pada minit ke-42.
Separuh masa pertama berakhir dengan Selangor ketinggalan 1-2.
Melihat kegoyahan ketara pada posisi bek kanan, jurulatih Selangor mengeluarkan Razman Roslan dan memasukkan D. Surendran sebaik babak kedua bermula.
Peluang Selangor dilihat kembali terbuka selepas KM Naza terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-64 apabila pemain pertahanan mereka, Saiful Azrin Samsuddin dilayangkan kad kuning kedua.
Bagi menambah sengat di bahagian depan, Devan melakukan dua lagi pertukaran dengan memasukkan Asraruddin Putra Omar dan Rudie bagi menggantikan R. Surendren dan Amirulhadi Zainal.
Hasilnya Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas Safee menolak masuk bola hantaran Asraruddin dari sebelah kiri untuk kedudukan 2-2.
Ketika permainan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Rudie berjaya menanduk masuk bola hantaran Asraruddin dari sebelah kiri pada masa kecederaan untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor.
Selangor kini gah mendahului Kumpulan D dengan 9 mata maksimum selepas berakhir pusingan pertama.
Selangor akan bertemu Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2009 di Stadium Jalan Besar, Singapura Ahad ini sebelum menyambung semula aksi Piala Malaysia dengan bertemu Sabah di Stadium Shah Alam Selasa depan.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan (D.Surendran), 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan, 23.R.Surendren (4.Asraruddin Putra Omar), 14.Hardi Jaafar, 28.Khairil Anuar Khalid, 20.Amirulhadi Zainal (9.Rudie Ramli), 17.Amri Yahyah (c), 10.Safee Sali.



