Selangor 3 Negeri Sembilan 0

on .

SELANGOR terus kekal di tangga teratas setelah berjaya menewaskan pesaing terdekat, Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan ketiga Liga Super 2009 di Stadium Shah Alam malam tadi. Disaksikan hampir 25,000 penonton tuan rumah bermula garang apabila mengasak ke kubu skuad Rusa sejak wisel perlawanan namun mensia-siakan beberapa peluang kecemasan.

Amirul Hadi Zainal akhirnya menjaringkan gol pertama Selangor pada minit ke-20 selepas menyudahkan bola muntah penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun hasil percubaan awal Safee Sali setelah ketua pasukan, Amri Yahyah memulakan gerakan serangan balas.

Enam minit kemudian, Selangor terus garang apabila R. Surendren berjaya menyudahkan bola lorongan P. Gunalan dari sebelah kiri untuk Selangor selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Pada minit ke-70, Selangor berpeluang melebarkan jurang gol apabila dianugerahkan sepakan penalti setelah Safee dijatuhkan pertahanan lawan tetapi sepakan penalti yang diambil Amri tersasar keluar.

Namun empat minit kemudian, Amri menebus kesilapan itu dengan jaringan ketiga Selangor setelah hadangan kaki yang dilakukannya untuk menahan sepakan pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Radzak terus melambung ke dalam gawang lawan.

Dengan kemenangan itu, Selangor mengumpul sembilan mata maksimum hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Selasa ini, Selangor akan berkunjung ke Stadium Jcorp, Pasir Gudang bagi menghadapi Johor FC.

SELANGOR: 21- Hamsani Ahmad, 3- Razman Roslan, 5- Khairul Anuar Baharom, 6- Nasriq Baharom, 15- P. Gunalan (4- Asraruddin Putra Omar), 20- Amirul Hadi Zainal, 14- Hardi Jaafar, 17- Amri Yahyah (c), 27- Fareez Asmawi (28- Luqman Husaini), 10- Safee Sali, 23- R. Surendren (9- Rudie Ramli)

NEGERI SEMBILAN: 22- Farizal Harun, 2- Rahman Zabul, 7- Aidil Zafuan Radzak, 11- Syamsul Sabtu, 15- Ching Hong Aik, 9- Shahurain Abu Samah (28- Mohd. Asyraf), 17- Idris Karim (20- Halim Zainal), 23- Rezal Zambery Yahya, 14- K. Thanaraj, 8- Zaquan Adha Radzak, 26- Firdaus Azizul (4- Affandy Adimel)

logo mbi  logo kappa  logo arena