Selangor 3 P Pinang 0
Selangor mencerahkan peluang untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super setelah menewaskan Pulau Pinang 3-0 dalam aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.
Dengan kemenangan ini, skuad Gergasi Merah kini masih merupakan pendahulu liga dengan mengumpul 57 mata, lima mata meninggalkan Kelantan di tangga kedua manakala Terengganu di tempat ketiga selepas mengutip 47 mata.
Kedua-dua pencabar dari pantai timur tersebut turut mencatatkan kemenangan dalam aksi malam tadi namun Terengganu tidak mampu lagi mencabar Selangor dengan baki saingan hanya tinggal 3 perlawanan.
Setelah hanya mencatat satu kekalahan dan satu seri dari dua perlawanan terdahulu, Selangor ternyata gugup dalam perlawanan menentang pasukan tercorot Liga Super walaupun kembali diperkuatkan dengan kehadiran pemain tengah Mohd Hardi Jaafar yang menerima penggantungan 6 perlawanan sebelum ini.
Tanpa sebarang aksi yang menarik ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan tatkala pasukan pelawat yang dibolosi 11 kali dalam dua perlawanan terakhir mereka jelas lebih berminat berkampung di gelanggang sendiri dan merencatkan sebarang pergerakan jentera Selangor, perlawanan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Selangor turun dengan aksi lebih bertenaga di separuh masa kedua apabila rancak menyerang kubu lawan. Namun malang menimpa buat pemain tengah Bunyamin Umar yang mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan. Beliau digantikan oleh Asraruddin Putra Omar yang mengambil posisi sayap kiri sekaligus membolehkan Safiq Rahim bergandingan dengan Hardi di bahagian tengah.
Benteng kebal Pulau Pinang akhirnya dibolosi pada minit ke-69. Pemain pertahanan Mohd Nasriq Baharom yang tidak dikawal berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini apabila menanduk masuk sepakan sudut sekaligus melegakan penyokong tuan rumah.
Gol tersebut ternyata membuatkan lawan goyah, lantas membolehkan Selangor menambah dua gol dalam masa dua minit masing-masing oleh Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safee Sali pada minit ke-80 dan 82.
Selangor akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menentang T-Team pada 28 Julai nanti sebelum menanti kehadiran Terengganu di Stadium Shah Alam 3 hari kemudian. Selangor akan melengkapkan saingan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darulaman pada 3 Ogos 2010.
SELANGOR: Mohd Hamsani Ahmad, Mohd Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Mohd Nasriq Baharom, P Gunalan, Mohd Bunyamin Umar (Mohd Asraruddin Putra Omar), Mohd Hardi Jaafar (Mohd Fazilidin Khalid), Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal (D Surendran), Mohd Amri Yahyah, Mohd Safee Sali

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Pulau Pinang>> KLIK DI SINI


