Selangor 4 Johor FC 1
SELANGOR memulakan saingan pusingan kedua Liga Super dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan Johor FC 4-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan Selangor terus kukuh di tangga teratas liga dengan 35 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Ia sekali gus memberi tekanan kepada dua pencabar terdekat, Kelantan (28 mata) dan Terengganu (26 mata) yang hanya akan beraksi perlawanan ke-14 mereka malam ini dengan menentang Pahang dan Kedah.
Pada aksi malam tadi, gol-gol Selangor telah dijaringkan Safee Sali, Liew Kit Kong, R. Surendren dan Amirulhadi Zainal manakala gol tunggal Johor FC dijaringkan Irme Mat.
Babak awal permainan sedikit perlahan tetapi segala-galanya berubah setelah jaringan Johor FC pada minit ke-28 dibatalkan oleh pengadil, R. Krishnan setelah penjaga garisan, Mazlan Desa terlebih dahulu mengangkat bendera.
Ketika para pemain Johor FC seakan hilang tumpuan dengan insiden itu, Selangor mencuri peluang apabila berjaya memperolehi gol pertama seminit kemudian setelah hantaran Amirulhadi dari sebelah kanan disudahkan dengan baik oleh Safee.
Selangor mengukuhkan kedudukan dengan memperolehi gol kedua pada minit ke-40 setelah Safee pula menghantar bola dari sebelah kanan untuk disudahkan dengan sepakan akrobatik menarik oleh Kit Kong.
Bersambung babak kedua, Johor FC dilihat terus gagal memecah kekebalan benteng Selangor tatkala pasukan tuan rumah itu masih berusaha untuk menambah jaringan.
Hasilnya pada minit ke-77, Selangor memperolehi sepakan penalti setelah Safiq Rahim dijatuhkan Rizal Roslan.
Biarpun sepakan penalti yang diambil penyerang gantian, R. Surendren berjaya ditepis penjaga gol Johor FC, G. Jeevananthan, Surendren pantas merembat masuk bola muntah itu untuk gol ketiga Selangor.
Pada minit ke-84, giliran Amirulhadi pula menjadikan kedudukan 4-0 setelah mudah menanduk masuk bola hasil tandukan awal D. Surendran yang sebelum itu menyambut lambungan Razman Roslan dari sebelah kanan.
Johor FC berjaya juga memperolehi gol saguhati pada minit ke-86 apabila bola muntah tampanan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad ditolak masuk oleh Irme.
Perlawanan seterusnya, Selangor akan menanti kunjungan juara Piala FA, Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam pada Sabtu depan.
SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharom, 12.Bunyamin Umar, 15.P.Gunalan (c), 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 14.Hardi Jaafar, 18.Liew Kit Kong (19.D.Surendran), 9.Rudie Ramli (23.R.Surendren), 10.Safee Sali (7.Farderin Kadir).
JOHOR FC: 1.G.Jeevananthan, 13.Rizal Roslan, 2.Mat Saiful Mohamad, 6.Izuan Jarudin, 23.Sumardi Hajalan, 15.Riduwan Maon (8.Azizan Baba), 7.Wan Rohaimi Ismail, 25.Khairul Ismail (18.Irme Mat), 14.Zulhisyam Jamaluddin (16.Syaiful Sabtu), 12.Nurul Azwan Roya, 9.Eddy Helmi Manan (c).
PENGADIL: R. Krishnan.

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Johor FC>> KLIK DI SINI


