Selangor 4 KM Naza 1

on .

Selangor menghampiri matlamat menjadi juara Liga Super buat julung kalinya setelah berjaya menewaskan Kuala Muda Naza 4-1 di Stadium Shah Alam malam tadi. Dengan pencabar terdekat Perlis dipisahkan dengan 4 mata setelah hanya mampu seri 1-1 dengan Perak, Selangor hanya memerlukan 3 mata dari baki dua perlawanan untuk memastikan kejuaraan.

Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan skuad Gergasi Merah apabila mendahului pada minit ke-22 menerusi bekas penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhli.

Namun Selangor bingkas memperkemaskan gerakan namun masih buntu mencari gol berhadapan pertahanan kemas pasukan Kuala Muda Naza sehingga babak pertama tamat.

Selangor memulakan aksi babak kedua dengan melancarkan serangan demi serangan ke pintu gol lawan. Hasilnya gol penyamaan yang dicari diperolehi pada minit ke-55 menerusi pertahanan veteran Kuala Muda, B. Rajnikandh yang tertolak bola masuk ke gawang sendiri ketika diasak pemain Selangor, Amirulhadi Zainal.

Minit ke-71, Khairul Anuar Baharom menjaringkan gol pertamanya untuk Selangor musim ini hasil keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol sekaligus membolehkan Selangor mendahului 2-1.

Selangor mengukuhkan kedudukan pada minit ke-81 setelah Amri Yahyah menolak masuk bola hantaran pemain gantian Asraruddin Putra Omar dari sebelah kiri untuk gol ketiga tuan rumah.

Nasib malang pasukan pelawat berterusan apabila pemainnya Syahman Zainuddin dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras terhadap Asraruddin pada minit ke-84.

Asrarudin kemudiannya melengkapkan malam gemilang Selangor menerusi tandukan hasil hantaran C. Premnath pada minit ke-88.

SELANGOR: Hamsani Ahmad, Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Nasriq Baharom, P.Gunalan, Amirulhadi Zainal (Asraruddin Putra Omar), Hardi Jaafar, Amri Yahyah, C.Premnath, R.Surendren (D.Surendran), Safee Sali (Fazli Baharudin).

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena