Selangor 4 Negeri Sembilan 2

on .

Selangor mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super setelah mencatat kemenangan bergaya 4-2 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Turun buat pertama kali menampilkan ketua pasukan Amri Yahyah yang mengalami kecederaan sejak pertengahan April, Selangor tampil bersemangat bagi menebus kembali kekalahan kepada Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir Piala FA yang lalu.

Pasukan pelawat bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila mendahului menerusi sepakan leret Idris Karim dari luar kotak penalti yang memperdayakan Hamsani Ahmad pada minit ke-29.

Negeri Sembilan menambah jaringan tiga minit kemudian apabila Norizan Salaman yang tidak dikawal mudah menanduk masuk sepakan percuma Shahurain Abu Samah dari sebelah kiri pintu gol Selangor.

Ketinggalan dua gol, Selangor yang mendapat suntikan semangat kira-kira 15,000 penyokong tidak mudah berputus asa dan menyerang bertubi-tubi bagi merapatkan jurang.

Hasilnya, Amirulhadi Zainal membuka jaringan Selangor hasil hantaran lintang Mohd Safee Sali pada minit ke-41.

Kedudukan separuh masa pertama kekal dengan Negeri Sembilan mendahului 2-1.

Selangor meneruskan usaha memburu gol penyamaan di separuh masa kedua namun terpaksa meninggu sehingga minit ke-64 apabila sepakan percuma Hardi Jaafar dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Selangor tambah garang apabila seminit kemudian Mohd Amirulhadi menjaringkan gol kedua peribadinya untuk membolehkan Selangor mendahului buat kali pertama dalam perlawanan ini.

Mohd Bunyamin Umar memastikan kemenangan Selangor pada minit ke-75 dengan gol keempat tuan rumah apabila sepakannya terkena pertahanan Negeri Sembilan lantas mengelirukan Sani.

Kemenangan 4-2 ini membolehkan Selangor mengumpul 38 mata dari 15 perlawanan diikuti Kelantan dengan 35 mata yang telah beraksi lebih satu perlawanan.

SELANGOR: Mohd Hamsani Ahmad, Mohd Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Mohd Bunyamin Umar, P Gunalan, Safiq Rahim (R Surendren), Mohd Hardi Jaafar, Liew Kit Kong (Nasriq Baharom), Mohd Amirulhadi Zainal (Rudie Ramli), Mohd Amri Yahyah, Mohd Safee Sali

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena