Selangor 5 Pahang 1

on .

Selangor menamatkan aksi Liga Super musim ini dengan mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Pahang di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selangor telah pun dinobatkan sebagai juara Liga Super Selasa lalu apabila membelasah PDRM 6-1 seterusnya membuka jurang perbezaan mata yang tidak dapat dikejar pasukan tangga kedua Perlis.

Bagaimanapun Pahang terlebih dahulu mendahului menerusi tandukan Muhammad Badrul Hisani, yang menewaskan penjaga gol Selangor Mohd Nasril Nourdin pada minit ke-13.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor hanya menunggu 4 minit untuk menyamakan kedudukan hasil daripada sepakan penalti Mohd Safee Sali setelah R Surendren dijatuhkan penjaga gol pelawat, Mohd. Rosfaizul Azuar Ali.

Ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah kemudiannya menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-43 apabila beliau yang berhadapan Rosfaizul mudah melambungkan bola ke dalam gawang.

Safee menambah koleksi jaringan peribadinya dengan mudah menolak masuk hantaran jauh D Surendran pada minit ke-59 bagi membolehkan Selangor mendahului 3-1.

Amri kemudiannya melambungkan bola cantik melepasi penjaga gol lawan pada minit ke-64 untuk kedudukan 4-1 sebelum R Surendren menambah derita skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol kelima Selangor lima minit kemudian.

Selangor berpeluang menambah jaringan namun digagalkan Rosfaizul yang menidakkan peluang satu lawan satu dari Safee sebelum menyelamatkan sepakan penalti Nasril.

Suasana pesta bermula sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil. Sejurus selepas itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyampaikan trofi Liga Super dan medal kepada para pemain dan pegawai pasukan. Manakala Amri Yahyah melengkapkan minggu gemilang beliau apabila diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan semalam.

logo mbi  logo kappa  logo arena