Selangor 5 PDRM 1
Dua jaringan Safee Sali membantu Selangor menewaskan pasukan tangga terbawah PDRM 5-1 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.
Bermula agak lewat berikutan hujan lebat yang turun mencurah-curah menjelang senja, Selangor hanya memerlukan beberapa saat untuk mendahului. Bola yang dirampas dari sepak mula pasukan pelawat pantas dilorongkan kepada penyerang kebangsaan Safee Sali yang mudah menolak masuk.
Terkejut dengan gol awal itu, PDRM mengambil kesempatan dari keghairahan Selangor menambah jaringan apabila menyamakan kedudukan hanya 4 minit berselang menerusi Khairul Izwan Abdullah.
Selangor kemudian kembali di hadapan menerusi jaringan sendiri pertahanan lawan pada minit ke 22. Safee kemudiannya menjadikan kedudukan 3-1 menerusi larian solonya yang melepasi beberapa pemain pertahanan PDRM sebelum menjaringkan gol pada minit ke-36.
Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 3-1.
Selangor berusaha menambah jaringan apabila memulakan aksi babak kedua namun terpaksa menunggu sehingga minit ke 64 apabila sepakan kencang Amri Yahyah dari luar kotak penalti menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Pemain gantian, Rudie Ramli melengkapkan malam gemilang Selangor apabila menyudahkan hantaran Asrarudin Putra Omar pada minit ke-75.
Kedudukan 5-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil. Dengan keputusan ini Selangor kekal di tangga kedua di belakang pendahulu Liga Super Perlis yang turut mencatatkan kemenangan.



