Selangor hampir sedia ke saingan sebenar
BELUM 100 peratus tetapi penolong jurulatih Selangor, P Maniam yakin anak buahnya sudah terlalu hampir untuk bersedia menyahut cabaran yang bakal dihadapi pada saingan Liga Super musim 2009, bulan depan.
"Kami sudah 60 hingga 70 peratus sedia untuk ke Liga Super. Cuma beberapa posisi yang perlu dipertajamkan lagi dan saya yakin selepas satu atau dua perlawanan persahabatan lagi, ia akan mantap," kata Maniam.
Keyakinan itu diluahkan Maniam selepas anak buahnya mencatat satu lagi kemenangan dan kali ini skuad UPB/MyTeam menjadi mangsa ratahan terbaru Gergasi Merah yang menundukkan skuad berkenaan 3-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.
R Surendran, D Surendran dan Rudie Ramli muncul wira skuad Gergasi Merah apabila masing-masing meledakkan satu jaringan pada perlawanan yang disaksikan lebih 1,000 orang itu.
Posisi pertahanan dan sayap masih lagi belum mantap dan Maniam berkata, masalah yang mereka hadapi ialah keserasian dan ia bukanlah sesuatu yang terlalu besar untuk dibimbangkan.
Pertahanan Selangor dibarisi P Gunalan, Mohd Fadzirul Zakaria, Mohd Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Asrarudin Putra Omar manakala sayap Selangor menyaksikan aksi Sanjos Sundawat, Mohd Fitri Syazwan, D Surendran, Mohd Fazli Baharuddin dan Amirulhadi Zainal.
Maniam berkata, faktor lain yang turut meningkatkan keyakinannya ialah Selangor mampu beraksi baik walaupun tanpa beberapa pemain yang mewakili negara ke Piala Suzuki, baru-baru ini.
"Dengan kehadiran semula beberapa pemain itu, saya yakin Selangor akan mampu menggugat mana-mana pasukan pada saingan Liga Super nanti," katanya.


