Selangor juara Liga Super

on .

Selangor mencapai hasrat memenangi Liga Super buat pertama kali selepas menang bergaya 6-1 ke atas PDRM di Stadium Selayang malam tadi.

Selangor yang memerlukan tiga mata dari baki dua perlawanan tidak menunggu lama apabila membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi Rudie Ramli.

Gol tersebut membuka semangat pemain yang melakukan asakan bertali-arus ke kubu pasukan tuan rumah namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-29 untuk menambah jaringan menerusi Nasriq Baharom hasil dari sepakan sudut.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga aksi babak pertama ditamatkan.

Amri Yahyah yang baru sahaja beraksi 24 jam sebelumnya mewakili Malaysia dalam perlawanan menentang Manchester United menambah derita PDRM dengan gol pada minit ke-46.

Razman Roslan menjaringkan gol pertamanya musim ini menerusi sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-54.

Pemain gantian Amirulhadi Zainal yang masuk menggantikan R Surendren kemudiannya menjaringkan gol kelima menerusi sentuhan pertamanya di atas padang pada minit ke-71.

D Surendran melengkapkan malam gemilang Merah Kuning menerusi sepakan jarak jauh cantik pada minit ke-75.

PDRM memperolehi gol saguhati menerusi Khairul Izuan Abdullah 6 minit sebelum wisel penamat ditiupkan sekaligus menandakan tamatnya penantian 6 tahun Selangor untuk mengecapi kejuaraan Liga Super sejak ianya diperkenalkan pada 2004.

Trofi Liga Super akan dihadiahkan kepada pasukan sewaktu perlawanan terakhir menentang Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

SELANGOR: Hamsani Ahmad, Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Nasriq Baharom, P Gunalan, R Surendren (Amirulhadi Zainal), Hardi Jaafar, Amri Yahyah (D Surendran), C Premnath, Rudie Ramli (Fazilidin Khalid), Safee Sali

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena