Selangor juara Piala Selangor 2009

on .

EDISI sulung perlawanan bola sepak jemputan Piala Selangor 2009 menjadi milik Selangor selepas pasukan tuan rumah itu menewaskan kelab Indonesia, Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dua jaringan Bambang Pamungkas pada minit ke-56 dan ke-60 sudah cukup untuk mengembalikan memori indah para penyokong Selangor terhadap pemain yang pernah menjadi pencetak utama gol Selangor pada musim 2005.

Faktor kehadiran Bambang dan seorang lagi bekas pemain import Selangor, Elie Aiboy serta pasukan Persib Bandung ternyata berjaya menarik minat ramai penonton untuk hadir dengan dianggarkan 45,000 penonton memenuhi ruang stadium.

Sebaik wisel dimulakan, Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama tetapi percubaan Bambang berjaya dihadang pertahanan Persib Bandung, Nova Arianto.

Persib melakukan percubaan pertama pada minit kelima. Namun sepakan penyerang import dari Uruguay, Christian Alfaro Gonzales terus ke dakapan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Pada minit ke-28, Hamsani bertindak cemerlang apabila berjaya menepis keluar bola sepakan lambung berbahaya Maman Abdulrahman dari luar kotak penalti.

Selangor turut memperolehi peluang pada minit ke-41 tetapi percubaan R. Surendren hasil lorongan Elie sedikit sipi dari gawang Persib yang dikawal ketua pasukannya, Cecep Supriyatna.

Pada minit ke-44, berlaku keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Selangor dan percubaan terakhir oleh Siswanto sekadar tinggi melepasi gawang tatkala Hamsani sudah pun terkeluar dari posisinya.

Ketika masa kecederaan separuh masa pertama, rembatan cantik Safee Sali dari luar kotak penalti pula hanya sedikit melepasi palang gol Persib untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang gol.

Tiada pertukaran dilakukan kedua-dua jurulatih, K. Devan bagi Selangor dan Robbie Darwis bagi Persib apabila mereka memulakan saingan babak kedua.

Gol pertama Selangor akhirnya terhasil pada minit ke-56 menerusi jaringan Bambang selepas pemain Persija Jakarta itu pantas menolak masuk bola lorongan Safee dari sebelah kiri untuk menewaskan Cecep di gawang Persib.

Hanya empat minit selepas itu, Selangor memperolehi gol kedua juga menerusi jaringan Bambang yang menyempurnakan bola lorongan Elie hasil satu serangan balas pantas selepas sepakan sudut Persib.

Pada minit ke-66, Selangor hampir menambah gol ketiga tetapi sepakan cantik Elie yang kini beraksi untuk PSMS Medan berjaya pula ditepis keluar oleh Cecep.

Dengan kemenangan itu, Selangor membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta piala pusingan manakala Persib selaku naib juara memperolehi wang tunai RM10,000.

Piala dan medal disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

SELANGOR: 21.Hamsani Ahmad, 3.Razman Roslan (19.D.Surendran), 5.Khairul Anuar Baharom, 6.Nasriq Baharom, 15.P.Gunalan (4.Asraruddin Putra Omar), 8.Elie Aiboy (25.Fazilidin Khalid), 14.Hardi Jaafar, 17.Amri Yahyah (c), 23.R.Surendren (28.Amirulhadi Zainal), 10.Safee Sali (9.Rudie Ramli), 20.Bambang Pamungkas (24.Fitri Shazwan Raduwan).

PERSIB BANDUNG: 20.Cecep Supriyatna (c), 2.Edi Hafid Murtado (4.Wildansyah), 5.Maman Abdulrahman, 7.Atep, 8.Siswanto (17.Rendi Saputra), 9.Airlangga (22.Rudi Geofani Somantri), 10.Christian Alfaro Gonzales, 12.Gilang Angga Kusuma, 16.Munadi, 23.Jejen Zaenal Abidin (3.Irwan Wijasmara), 30.Nova Arianto.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena