Selangor ke separuh akhir Sukma 2010

on .

SKUAD bola sepak B-23 Selangor layak ke separuh akhir Sukma 2010 selepas berjaya membelasah Kelantan 5-0 pada aksi suku akhir di Stadium Hang Tuah, Melaka malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor akan bertemu Kedah pada aksi separuh akhir yang bakal berlangsung di Stadium Hang Tuah malam esok.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan juara bertahan, Terengganu dengan Wilayah Persekutuan pada petang esok.

Jika berjaya melangkah ke final, Selangor berpeluang menamatkan kemarau pingat emas acara bola sepak Sukma selepas kali terakhir memenanginya 12 tahun lalu pada Sukma 1998 di Selangor.

Pada aksi bertemu Kelantan malam tadi, Selangor berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Farderin Kadir (m-34) dan G. Mahathevan (m-42).

Selangor terus garang dengan menambah tiga lagi gol pada babak kedua menerusi Mahathevan (m-53), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (m-92) dan Farderin (m-93).

Terdahulu Selangor telah muncul juara Kumpulan D selepas mengumpul 7 mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Selangor membelasah Sabah 4-0 pada perlawanan pertama, menewaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan kedua sebelum seri 1-1 dengan Melaka pada aksi terakhir kumpulan.

Skuad Selangor dibarisi tiga pemain Liga Super iaitu Fitri Shazwan Raduwan sebagai ketua pasukan, penjaga gol, Fairul Azwan Shahrullail dan juga Farderin.

Mereka turut dibantu beberapa pemain dari skuad Liga Perdana PKNS dan ATM serta pemain-pemain skuad Piala Presiden Selangor.

logo mbi  logo kappa  logo arena