Selangor lawan Malaysia B-23

on .

PERTEMUAN persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun kebangsaan di Stadium Shah Alam malam ini akan menjadi hadiah terbesar buat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada semua peminat setia skuad Gergasi Merah itu.

Tanpa dikenakan sebarang tiket, FAS mempelawa semua peminat setia Selangor untuk hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan persahabatan yang dianggap sebagai pentas terbaik untuk anak buah K Devan itu untuk menguji serat memperbaiki kelemahan yang ada.

"Hujung minggu depan kami akan meneruskan saingan Liga Super dengan menentang Pulau Pinang. Justeru, ini adalah latihan yang boleh dianggap sebagai terbaik buat Selangor.

"Memang pemain Selangor masih mempunyai kelemahan dan kesempatan ketika iga Super berhenti rehat minggu ini boleh digunakan sebaik mungkin dengan mengadakan perlawanan persahabatan yang berkualiti.

"Pada peringkat awal, kami merancang untuk mengenakan tiket untuk mereka yang mahu menyaksikan perlawanan persahabatan ini tetapi selepas mengadakan perbincangan, FAS mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan secara percuma.

"Ia adalah sebagai perhargaan dan sanjungan kami buat semua penyokong setia Selangor yang membantu pembangunan dan kejayaan pasukan ini sejak sekian lama," kata Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin.

Perlawanan persahabatan menentang anak buah B Rajagobal itu akan dilangsungkan jam 8 malam dan Hamidin meminta semua penyokong supaya menjaga disiplin masing-masing.

"Saya yakin peminat setia Selangor akan menjaga kelakuan mereka. Saya berani menyifatkan bahawa peminat setia Selangor adalah antara yang terbaik sekali di negara ini dan saya harap mereka akan mengekalkan sifat sebegitu," katanya.

Selangor

logo mbi  logo kappa  logo arena