Selangor raih perak SUKMA 2010
Selangor meraih pingat perak acara bolasepak SUKMA apabila tewas 0-1 kepada juara bertahan Terengganu dalam perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah malam tadi.
Rosli Muda menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-24.
Terengganu yang membariskan 10 pemain Liga Super di samping berjaya menjaringkan 12 gol dalam perjalanan ke perlawanan akhir turun sebagai pasukan pilihan.
Dengan keputusan ini Selangor yang membariskan tiga pemain Liga Super terus kempunan dalam usaha menamatkan kemarau 12 tahun setelah kali terakhir memenangi emas acara itu pada 1998.
Penyerang utama Terengganu, Joseph Kallang Tie hampir membuka jaringan apabila sepakan percuma dari jarak 25 meter beliau berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Fairul Azwan Shahrullai pada minit ke-13.
Lima minit kemudian giliran Selangor untuk di hadapan namun penyerang M. Anbalagan gagal menyempurnakan peluang walaupun hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan Md Sharmiza Yusoff.
Terengganu akhirnya memecah kebuntuan apabila sepakan jarak jauh Rosli pada minit ke-24 berjaya menewaskan Fairul.
Selepas rehat, Selangor beraksi lebih kemas namun gagal menembusi pertahanan Terengganu yang dikepalai ketua pasukan Nur Aliff Zainal.
Penyerang Liga Super Selangor, Farderin Kadir jelas mempamerkan aksi di bawah kemampuan sebenar sebelum digantikan oleh Raslam Khan pada minit ke-70. Raslam hampir menyamakan kedudukan buat Selangor selang 5 minit kemudian namun tidak mampu menyudahkan peluang terbuka di hadapan pintu gol.
Terengganu terus utuh bertahan sehingga wisel penamat ditiupkan bagi meneruskan kecemerlangan memenangi pingat emas acara bolasepak SUKMA buat edisi ketiga berturut-turut.


