Sentuhan 'tuah' Maniam
PELUANG Selangor untuk ke suku akhir Piala Malaysia tampak seperti sudah tertutup rapat setelah tewas 1-2 di tangan T-Team pada aksi keempat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, 17 September lalu.
Ia sekali gus menyebabkan ketua jurulatih Selangor ketika itu, K Devan terpaksa membuat keputusan meletak jawatan, tiga hari kemudian.
Lantas P Maniam yang sebelum ini merupakan penolong kepada Devan telah dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor yang baru bagi meneruskan sisa perjuangan menyelamatkan Misi 33.
Ternyata sentuhan Maniam, 43, memberi tuah buat Selangor apabila berjaya membelasah PDRM 4-1 di Paroi, Sabtu lalu dan terbaru menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Shah Alam, malam tadi, sekali gus membolehkan Selangor layak ke suku akhir selaku naib juara kumpulan di belakang T-Team.
"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang datang ke stadium malam ini (semalam) dan masih percaya Selangor akan layak ke suku akhir.
"Sorakan penyokong telah membangkitkan semangat para pemain pada separuh masa kedua dan akhirnya kami berjaya menjaringkan dua gol.
"Terima kasih juga kepada pemain-pemain yang beraksi kerana saya hanya dapat memberikan arahan dan pemain sendiri yang membuatkan Selangor layak ke peringkat seterusnya ini.
"Terima kasih juga kepada pengurusan Selangor yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi ketua jurulatih sejak perlawanan Sabtu lalu dan seterusnya dalam baki aksi Piala Malaysia dan saya akan buat yang terbaik," kata Maniam kepada www.faselangor.my.
Mengulas tentang aksi anak-anak buahnya malam tadi, Maniam berkata, walaupun pada separuh masa pertama Selangor bermain dengan berhati-hati hingga membenarkan Kuala Lumpur menjaringkan satu gol, namun pemain-pemain telah bermain dengan baik pada babak kedua dan dapat menjaringkan dua gol cantik menerusi Razman Roslan dan Amri Yahyah.
"Kemasukan Hardi Jaafar pada babak kedua merubah permainan Selangor," tambah Maniam.
"Jadi tempoh rehat selama 12 hari ini sangat baik pada pasukan dan ia akan memberikan saya masa untuk berusaha memperbaiki beberapa kelemahan pasukan dan membentuk persefaman antara pemain.
"Ini adalah pasukan yang baru kerana terdapat tiga pemain yang sekarang bermain dalam kesebelasan utama iaitu Azidan Sarudin, Bunyamin Umar dan pemain pinjaman dari Harimau Muda A iaitu Nazri Ahmad yang berada dalam percaturan saya untuk baki saingan Piala Malaysia musim ini."
Namun Maniam tetap menuntut komitmen semua 23 pemain sama ada pemain utama atau simpanan dalam pasukan kerana mereka adalah nadi dan penyebab untuk prestasi pasukan Selangor sekarang dan kesemua pemain ini mempunyai peranan tersendiri.
Untuk aksi suku akhir nanti, Selangor akan bertemu Perak di Stadium Shah Alam, 10 Oktober depan disusuli aksi kedua di Stadium Perak, Ipoh pada 14 Oktober.


