Separuh Akhir Piala FA: Selangor 1 Kelantan 5
PELUANG Selangor untuk mara ke final Piala FA semakin sukar setelah tewas teruk 1-5 kepada Kelantan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kelantan mudah mendahului 3-0 pada separuh masa kedua menerusi dua gol Ramzul Zahini Adenan dan satu gol Badhri Radzi.
Pada babak kedua, Kelantan menambah dua lagi gol menerusi Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha sebelum kapten Selangor, Amri Yahyah menjaringkan gol tunggal pada minit akhir perlawanan.
Perlawanan malam tadi berlangsung di hadapan kira-kira 35,000 penyokong kedua-dua pasukan.
Seawal minit kedua, rembatan Nurul Azwan dari luar kotak penalti menggegar tiang kiri pintu gol Selangor sebelum bola melantun keluar.
Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-10 berpunca daripada percubaan awal Nurul Azwan ditampan penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.
Namun bola muntah tersebut disambar pantas Norshahrul dan sekali lagi Saiful berjaya menghadang tetapi dapat juga ditolak masuk oleh Ramzul yang tidak dikawal.
Gawang Selangor nyaris bocor lagi pada minit ke-20 tetapi mujur bola sepakan percuma Badhri terkena palang dan bola yang melantun cepat dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pemain pertahanan Selangor.
Gol kedua Kelantan menyusul pada minit ke-40, kali ini Badhri melakukan sepakan percuma pantas dengan melambungkan bola ke sebelah kanan kepada Norshahrul yang pantas melorongkan kepada Ramzul untuk disudahkannya dari dalam kotak penalti.
Hanya berselang tiga minit kemudian, Kelantan terus selesa dengan gol ketiga oleh Badhri yang menyudahkan hantaran baik Nurul Azwan dari sebelah kiri.
Pada waktu rehat, jurulatih penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz dilihat mengendalikan sesi latihan khas bersama penjaga gol simpanan, Iqbal Suhaimi.
Namun sebaik babak kedua bermula, jurulatih Selangor, K. Devan tetap mengekalkan Saiful Amar untuk menjaga gawang.
Impian Ramzul mencipta hatrik tidak kesampaian apabila dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-54 akibat kecederaan dan digantikan dengan Khalid Jamlus.
Seminit kemudian, Selangor yang terdesak memburu gol membawa masuk dua tenaga baru iaitu Rudie Ramli dan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Fadzli Saari dan Hardi Jaafar.
Pada minit ke-61, tandukan Rudie hasil sepakan sudut Safiq Rahim tepat didakap kemas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Sebaliknya Kelantan berjaya menambah gol keempat pada minit ke-67 menerusi satu serangan balas yang disudahkan dengan rembatan oleh Nurul Azwan.
Kelantan terus mengamuk dengan gol kelima pada minit ke-71 setelah Norshahrul yang tidak dikawal mudah merembat masuk bola dari dalam kotak penalti.
Lima gol bolos, Devan membawa keluar Saiful Amar dan memasukkan Iqbal pada minit ke-74.
Pada minit ke-85, di sudut berbeza, Khairul Fahmi masih enggan gawangnya dibolosi apabila melayangkan badan ke sebelah kiri untuk menyelamatkan sepakan P. Gunalan dari dalam kotak penalti.
Khairul Fahmi memegang rekod tanpa bolos sepanjang lima perlawanan terakhir berturut-turut.
Namun rekod itu lebur juga pada minit ke-90 apabila Selangor beroleh gol saguhati menerusi rembatan kencang Amri dari luar kotak penalti.
Selangor perlu menang sekurang-kurangnya 5-0 di Kota Bharu pada aksi separuh akhir kedua Isnin ini jika masih berhajat untuk ke final pada 11 Jun depan.
SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar (22. Iqbal Suhaimi), 4. Asraruddin Putra Omar, 12. Bunyamin Umar, 16. Yosri Derma Raju, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 14. Hardi Jaafar (24. Fitri Shazwan Raduwan), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (9. Rudie Ramli).
KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaluddin (17. Rizal Fahmi Rosid), 3. S. Subramaniam, 6. Farisham Ismail, 24. Zairul Fitree Ishak, 23. S. Chanthuru, 8. Shakir Shaari (21. Khairan Ezuan Razali), 16. Badhri Radzi (c), 12. Nurul Azwan Roya, 9. Norshahrul Idlan Talaha, 22. Ramzul Zahini Adenan (25. Khalid Jamlus).
PENGADIL: Yussof Karim


